Jumaat, 8 April 2011

Samon Ketika Berhadapan Raja Antokiyah

Dicatat oleh Nur di Jumaat, April 08, 2011


Di zaman Nabi Isa a.s ada seorang pengikutnya yang bernama Samon. Beliau seorang pemuda yang soleh dan bijak. Samon dan dua orang sahabatnya pernah diutuskan oleh Nabi Isa berdakwah kepada Raja Antokiyah yang zalim. Samon telah menyamar dirinya sebagai seorang dermawan yang disegani.
Pada suatu hari, Samon memasuki istana dan membawa sebakul makanan untuk tahanan penjara. Dia bertujuan mahu menemui dua orang sahabatnya yang telah dipenjara oleh Raja Antokiyah. Samon berusaha mencari jalan untuk melepaskan dua sahabatnya itu. Lalu beliau pun bertemu Raja Antokiyah dan mempamerkan segala kepakarannya. Raja Antokiyah berasa sangat kagum dengan kelembutan dan ilmu kepakaran Samon. Dalam masa beberapa hari saja Samon diangkat sebagai salah seorang pembantu Raja. Raja Antokiyah sangat sayang kepada Samon di atas kebijaksanaan dan kebolehannya berbuat apa saja yang disuruhnya.
Pada suatu hari, Samon telah mengatakan kepada Raja Antokiyah bahawa di dalam penjara ada dua orang lelaki yang boleh menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Mereka yang dimaksudkan ialah dua orang sahabat Samon yang menjadi banduan itu. Mereka telah diuji untuk mengubati seorang buta supaya dapat mengembalikan penglihatannya. Mereka berdua pun berdoa kepada Allah dengan berserah dan keyakinan yang teguh. Dengan izin Allah, orang buta itu boleh melihat kembali.
Samon cuba berdakwah kepada Raja Antokiyah dengan menyentuh tentang ketuhanan. Beliau menerangkan bahawa sembuhnya orang buta itu adalah buktinya kebesaran Allah yang Esa. Tiba-tiba Raja Antokiyah berasa tercabar dengan kata-kata Samon. Lalu Raja Antokiyah berkata “Jika benar katamu itu, beta mahu kamu berdua menghidupkan orang yang sudah mati.”
Samon dan dua orang sahabatnya pun berdoa kepada Allah dengan penuh harap agar orang mati itu hidup semula. Tiba-tiba dengan kekuasaan Tuhan yang Maha berkuasa orang yang telah mati itu hidup semula . Akhirnya Raja Antokiyah merasa insaf dan beriman kepada Allah.






Pst by: Nor Dhervina March 21 at 9:22am

0 ulasan on "Samon Ketika Berhadapan Raja Antokiyah"

Catat Ulasan

Sebuah Pertemuan

Sebuah Pertemuan

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

 

Rufaydah Al-Aslamiyyah Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipiet Templates Sponsored by Blogger Template Gallery