Khamis, 31 Mac 2011

ampunilah diri ini ya Allah

Dicatat oleh Rufaydah Al-Aslamiyyah di Khamis, Mac 31, 2011


Kematian Itu Peringatan Bagi Yang Hidup



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.

kubur Kelak, ia akan menjadi rumah kita juga.



Sebelum saya menulis lebih lanjut, suka saya nyatakan bahawa diri ini bukanlah yang terbaik dalam menyampaikan tajuk ini. Diri yang sering melakukan dosa dan membelakangiNya, amat-amatlah tidak layak untuk bercakap, apatah lagi tajuk yang berat seperti ini. Namun, menyedari bahawa rasa tidak layak, lalu mengambil tindakan untuk tidak menyampaikan apa-apa merupakan taktik dan strategi syaitan yang tidak akan pernah redha melihat manusia berbuat kebaikan dan akan cuba menghalang-halangi manusia daripada melakukannya. Justeru itu, insyaAllah, akan cuba saya mengetepikan bisikan-bisikan negatif ini. Dan diharap juga kalian anggaplah sahaja post saya kali ini hanya sebagai per'kongsi'an kecil, bukan peng'ajar'an. Mudah-mudahan, apa-apa yang saya kongsikan di sini, saya terlebih dahulu beramal akannya, dan semoga kalian turut sama dapat menggarap hikmah darinya. Amin



Kematian itu Peringatan Bagi Yang Hidup





" Jikalau seseorang manusia itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya melainkan dari tiga perkara; iaitu sedekah yang mengalir, atau ilmu pengetahuan yang dapat diambil kemanfaatannya, atau anak Muslim soleh yang mendoakan untuknya."

(HR Muslim)





Mesejnya jelas, mati itu pasti, kehidupan dunia ini sementara dan tidak ada sesiapa dapat melarikan diri dari hakikat ini!



Kini, hanya doa-doa yang mampu kita usahakan untuk arwah. Itu sahaja. Sesungguhnya, hakikat kematian, bukan untuk kita melihat dan memikir-mikirkan si mati. Bukan itu yang sebenarnya. Namun, ia adalah satu peringatan daripadaNya untuk mereka-mereka yang hidup, yakni saya dan anda-anda semua. Begitu juga dengan talqin yang dibacakan.Bukan untuk peringatkan si mati sebenarnya, namun buat kita-kita yang akan menghadapi mati!



Kematian belum menjemput kita, maka apakah kita telah mengambil pengajaran dari kematian-kematian di sekeliling kita? Dan sesungguhnya, mahu atau tidak, kita juga pasti akan menghadapinya, dan kemudian kepadaNya jua kita dikembalikan.



Wahai orang-orang yang hidup, tidakkah engkau melihat dan memikirkan peringatanNya ini?



Kematian, ramai yang meremehkannya


Entah mengapa, saya hairan, pasti semua tahu dan meyakini bahawa diri ini akan menghadapi mati. Benar? Namun hakikat kebanyakan manusia, mereka hidup merasakan dunia ini abadi, kononnya kematian itu tidak akan datang menjemput mereka. Kenapa saya katakan begitu? Lihat sahaja di dada-dada akhbar dan di media massa. Atau tak perlu lihat jauh-jauh, perhati sahaja insan-insan di sekelilingmu. Betapa banyak gejala sosial yang berlaku? Betapa ramai manusia yang mengejar dunia, kemudian soal dosa pahala diredah begitu sahaja? Hubungan manusia diperalatkan untuk kepentingan diri... Harta dan wang ringgit dikejar-dikejar bagai nak gila, sedang solat dan bacaan Al-Quran tunggang-langgang tanpa jagaan..



Ramai bukan?



Maka suka saya membawa beberapa persoalan ini untuk sama-sama kita hayati. Semoga ia dapat memberi kesedaran dalam diri kita. Cuba fikirkan,

1000 tahun dahulu kau ada di sini? Tidak kan?100 tahun dahulu?



Bagaimana pula 1000 tahun akan datang, kau masih lagi di muka bumi ini?100 tahun akan datang?



......



Dunia ini terlalu sementara bukan?



Lalu, mengapa masih sering, kita mengingkari hakikat kematian di dalam hati kita. Justeru, mengapa masih sering kita menjalani hidup ini seakan-akan merasa hidup ini abadi?

Mengapa?





Mengapa Engkau Di Sini?





For every thing that happens, there must be a reason.



Tidak pernahkah kita terfikir mengapa kita ada di sini. Benar, mengapa ya? Sedang 1000 tahun dahulu kita tiada. 100 tahun dahulu juga tiada. Maka sekarang, mengapa kita berada di muka bumi ini? Mengapa kita diciptakan? Saja-saja? Pasti tidak logik bukan. Sedangkan sekecil-kecil mikroorganisma pun ada punyai makna, berfungsi mengurai mayat dan bahan-bahan terbuang.



Maka sekali lagi, mengapa kita diciptakan? Cuba fikirkan ia secara dalam-dalam.



Sesungguhnhya, Sang Pencipta telah memberi jawapan, namun kadang kita yang sering memandang ia sebelah mata.


" Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepada-Ku. "

- Surah Adz-Dzariyat (51): 56


Jawapan asas hidup ini. Persoalan yang mungkin kita sering tertanya tatkala kita baru dilahirkan. Namun mungkin, tempoh masa yang panjang menyebabkan persoalan itu berlalu pergi begitu sahaja. Persoalan yang terjawab, yang jika tidak, berkemungkinan kita tiada pun di dunia ini.

Justeru, itulah sepatutnya menjadi tujuan utama (sole purpose) hidup kita ini. Sang Pencipta telah menetapkan. Iaitu mengabdikan diri hanya kepadaNya, yakni dengan melakukan perkara-perkara yang Dia suka, dan menghindari perkara-perkara yang Dia murkai. Ya, itu tujuan utama yang perlu kita tune dalam diri kita. Bukan tujuan yang kedua, ketiga atau seterusnya. Bukan. Tetapi mesti tujuan yang pertama.


No Pain, No Gain


" ... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri. ... "



- Surah Ar-Ra'd (13): 11 -





Sering kali, tatkala kematian menjemput orang-orang di sekeliling kita, apatah lagi mereka yang hampir dengan kita, rasa insaf dan kesedaran untuk memperbaiki diri datang bertandang dalam hati. HidayahNya telah dicampakkan dalam diri kita. Pasti anda pernah merasa begitu bukan? Namun kemudiannya, adakah kesedaran itu hanya sementara atau bertahan lama? Dan akhirnya, dapatkah ia diterjemah dalam kehidupan kita?

Ya? Alhamdulillah.



Tetapi jika tidak, mengapa?





Suasana yang tidak menggalakkan mungkin? Rakan-rakan taulan dan ahli keluarga yang tidak memberi sokongan? Diri sendiri yang takut melakukan perubahan? Maka suka saya nyatakan, mahu tidak mahu, sudah menjadi lumrah dalam hidup iaitu untuk mendapatkan sesuatu yang kita inginkan, biarpun ia bersifat mengejar kejayaan atau materialistik, perlu ada pengorbanan. Perlu merasai sakit dan kepahitan.

Maka, perkara sama juga berlaku dalam kita mahu 'change for good'. Jangan anggap mudah. Pengorbanan itu suatu yang mesti. Diri ini kadangkala disakiti itu pasti.Bukan saya sahaja mahu menakut-nakutkan anda. Tidak. Tetapi itulah realitinya.





" Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apapun yang kamu infakkan, tentang hal itu sungguh, Allah Maha Mengetahui."

- Surah Ali Imran (3): 92 -





Namun, yakinlah, tiap-tiap pengorbanan yang akan kita hadapi itu tidak ada satu pun yang sia-sia. Percayalah, semua kesakitan yang terpaksa kita lalui itu berbaloi. Ya, percayalah! Tiap-tiap sesuatu itu akan dikira olehNya, dan tiada yang akan terlepas dari pandanganNya, melainkan ianya tercatit sebagai amal kebajikan.

Ingatlah mutiara-mutiara kata ini,



" Mujahadah itu pahit, kerana syurga itu manis. Nafsu itu tampak indah, sedangkan neraka itu tidak terperi azabnya."

Dan pasti, apabila kelapangan dan ketenangan hati dirasakan, tatkala nikmat-nikmat syurga itu dikecapi, segala perih dan jerih itu pasti akan terasa hilang dan berlalu pergi. Seperti aliran air yang membawa bersama kotoran di badan pergi bersamanya.



Maka persoalan untuk diri, apakah aku telah bersedia untuk berkorban?



Ayuh, sebelum terlambat!



Tinggal dunia, tinggal segala. Hanya amalan, jadi teman bicara.







“Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baqa' dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.”

(HR. Ibnu Majah dan Abiddunya)



Ayuh! Mari kita bergerak memperbaiki diri! Mulakannya sekarang! Jangan biarkan kesedaran yang Allah kurniakan itu berlalu begitu sahaja.



Sesungguhnya kelak di akhirat, akan ada ramai manusia yang baru nak menginsafi dosa-dosa yang mereka lakukan di dunia. Diri mereka mahu berubah. Namun bagaimana, terus terang dikatakan, kau sudah terlambat!



“ Dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, (kini) kami adalah orang-orang yang yakin ”

- Surah As-Sajadah (32): 12 -

“ Sesungguhnya, Kami telah memperingatkan kepadamu (orang kafir) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata, 'Alangkah baiknya seandainya dahulu aku menjadi tanah. ”

- Surah An-Naba’ (78): 40 -



Maka sekali lagi, ayuh kita bersegera ke arah kebaikan. Mari kita mempersiapkan diri bagi menghadapi kematian. Sesungguhnya "kekuatan itu perlu dibina, bukan ditunggu". Berubahlah. Jika mampu, lakukannya secara menyeluruh dalam kehidupan kita. Itu yang sebaik-baiknya. Namun jika tidak mampu, tak mengapa. Usahalah untuk berubah sedikit demi sedikit. Ya. Namun pastikanlah, perubahan itu berterusan, dan matlamat akhir perubahan itu dapat dicapai. InsyaAllah.

Ayuh! Sebelum engkau kembali selesa dengan kehidupan jahiliyyahmu yang dahulu.

Ayuh! Sebelum nikmat hidayah yang Dia kurniakan itu, Dia tarik kembali.

Ayuh! Sebelum engkau terlambat. . .

Dan sering-seringlah bermuhasabah diri,

Jika kematian datang menjemputku sekarang, adakah aku telah bersedia?


" Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. "

- Surah Ali Imran (3): 185 -

Mati,Ia Pasti,Ia menghampiri,Ia mengakhiri. Namun mengapa masih kau dustaiMengapa masih kau remehi? Apakah engkau tidak meyakini?Lantas ayuh persiapkan diri! ~'esok' masih tiada yang pasti~

Post By: Quratul Husna February 23 at 2:12pm

0 ulasan on "ampunilah diri ini ya Allah"

Catat Ulasan

Sebuah Pertemuan

Sebuah Pertemuan

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

 

Rufaydah Al-Aslamiyyah Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipiet Templates Sponsored by Blogger Template Gallery