Khamis, 31 Mac 2011

IBU YANG TIDAK PERNAH KECEWA.....

Dicatat oleh Rufaydah Al-Aslamiyyah di Khamis, Mac 31, 2011
Mungkin ramai yang sukar untuk percaya; walaupun beliau merupakan seorang ibu yang berkerjaya, beliau telah berulang-alik dari Kuala Lumpur ke United Kingdom sekurang-kurangnya 4 kali dalam masa kurang dari setahun.

Kesemua perbelanjaan ditanggung sendiri dan bukanlah dibiayai oleh kerajaan.

Tatkala semua orang membuat persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri, beliau membuat keputusan untuk menyambut hari mulia itu bersama anaknya di bumi asing United Kingdom.

Melalui keputusan itu, beliau boleh memasak lemang, rendag dan kuah kacang yang sangat dirindui oleh anaknya.

Saya masih ingat beberapa tahun lepas, saya telah berkata kepada diri sendiri bahawa apabila saya besar nanti, saya akan memiliki pekerjaan sendiri, kehidupan yang terjamin dan menjaga ibu saya.

Saya mahu berikan beliau kasih sayang sepertimana kasih sayang yang telah beliau curahkan kepada saya ketika saya kecil.

Walaubagaimanapun, Allah pastinya mempunyai perancangan tersendiri.

26 tahun telah berlalu, saya masih bergantung kepada ibu sepertimana saya masih kecil dulu.

Mengidap penyakit kanser membuatkan saya merasakan bahawa saya kembali menjadi seorang bayi, jika dilihat dari segi perhatian yang diberikan oleh ibu.

Ketika gatal di badan saya menyerang dan saya tak mampu untuk menahannya, ibu akan sentiasa membantu saya meletakkan ubat krim.

Selain itu beliau akan tolong garukan belakang saya supaya kegatalan itu reda.

Ketika saya rasa tak sedap badan dan sangat penat, ibu akan duduk di sebelah saya dan meletakkan tangannya di atas lengan saya. Bahasa badannya menyatakan bahawa semuanya akan baik-baik sahaja.

Ketika saya batuk dengan teruk dan rasa tertekan dengannya, ibu akan mendekati saya dan beliau akan memeluk saya; pelukan yang saya sangat perlukan untuk terus kuat dan tabah.

Dan senarai itu berterusan.

Ketika ibu bertugas di luar daerah, selalunya saya akan turut bersamanya; samada saya akan menjadi pemandunya atau saya menemaninya di dalam pesawat.

Ibu sanggup membeli tiket kapal terbang tambahan jika perjalanan perlu menggunakan kapal udara itu.

Sepanjang beberapa bulan lepas, kami telah mengembara bersama-sama ke Langkawi, Kuantan, Seremban, Genting Highlands dan lain-lain lagi.

Saya akan bersama ibu setiap kali ibu 'outstation' kerana ibulah insan yang terbaik dalam menjaga anak lelaki yang berumur 26 tahun ini.

Beliau tahu apa makanan yang terbaik untuk saya, apa yang saya boleh buat dan tidak boleh buat, dan apa yang saya perlu lakukan apabila saya berhadapan dengan detik-detik yang sukar.

Kadangkala saya hairan dari mana ibu dapat tenaga, kesabaran dan kekuatan untuk terus cekal menjaga saya.

Cuba anda tanya siapa-siapa yang menjaga pesakit kanser dan anda akan faham maksud saya.

Ibu juga akan sentiasa pastikan bahawa beliau tidak akan menunjukkan muka marah di hadapan saya.

Beliau faham bahawa bagi pesakit kanser, tekanan dan nafsu amarah perlu diminimakan.

Kadangkala ibu akan buat jenaka. Ketika beliau berbual dengan rakan-rakan atau sanak-saudara, beliau akan mengatakan bahawa saya adalah 'bayi besar.'

Pastinya saya tidak ambil hati dengan panggilan itu malah saya bersetuju dengan ibu kerana saya rasa dimanjakan olehnya.

Saya selalu terkenang, bagaimana saya mampu untuk terus hidup tanpa bantuan ibu.

Saya akan sentiasa memberitahu diri saya bahawa saya ada Allah dan Allah sendiri sudah cukup bagi saya.

Tetapi saya akan terus berdoa agar Allah berikan kesihatan kepada kedua ibu-bapa saya dan seterusnya Allah memberikan kemampuan untuk mereka terus kuat menjaga 'bayi besar' mereka.

Saya tidak berapa pasti mengapa saya tulis akan perkara ini, tetapi saya merasa satu kekuatan untuk menulisnya sebagai tanda penghargaan yang amat mendalam terhadap ibu.

Dalam hidup saya, ibulah insan yang tidak pernah kecewa. Beliaulah insan yang memberikan saya kasih sayang tanpa syarat.

Kepada sahabat-sahabat di luar sana, sayangilah ibu masing-masing dan janganlah sekali-kali melukakan hati mereka.

Beritahu ibu kita (mengikut cara masing-masing) bahawa kita sangat sayang kepada mereka dan tidak akan memperdagangkan ibu kita dengan apa pun di dunia ini.

Post By: Nur Aqilah Jani February 25 at 5:35pm

0 ulasan on "IBU YANG TIDAK PERNAH KECEWA....."

Catat Ulasan

Sebuah Pertemuan

Sebuah Pertemuan

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan?
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

 

Rufaydah Al-Aslamiyyah Copyright 2009 Sweet Cupcake Designed by Ipiet Templates Sponsored by Blogger Template Gallery